Random Post: Ungu - Berikan Aku Cinta
RSS 2.0
  • Home
  • About
  •  

    Ulasan Minggu Ke 2

    MENYAKSIKAN minggu kedua konsert Akademi Fantasia musim keenam (AF6) malam Sabtu lalu, pujian harus diberikan kepada Stracie Angie Anam atau Stacy.

    Walaupun menampilkan persembahan yang cukup ringkas menerusi lagu Rela nyanyian Tila, kelibat gadis berusia 18 tahun dari Kota Kinabalu, Sabah ini ketika beraksi di atas pentas sememangnya menyerlah.

    Malah tidak keterlaluan andai dikatakan dengan kekuatan vokal yang dipertunjukkan, Stacy berada jauh di hadapan meninggalkan peserta lain pada malam itu.

    Seharusnya, Stacy perlu mengekalkan kekuatan tersebut bagi melayakkannya bergelar sang juara nanti.

    Jika ini dapat dilakukan, AF6 mungkin bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kali memperoleh juara yang hadir dari tanah Borneo bagi memecah monopoli apabila juara bagi AF musim terdahulu dikuasai sepenuhnya peserta dari Semenanjung Malaysia.

    Bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk menilai Stacy dengan hanya melihat mutu persembahannya di dua konsert.

    Tugas berat menanti dirinya di konsert-konsert akan datang sama ada dia dapat menunjukkan peningkatan atau sebaliknya.

    Faisal mampu bawa imej Rock

    Selain Stacy, seorang lagi penuntut AF yang menonjolkan peningkatan ketara adalah Muhammad Faisal Abdullah atau Faisal.

    Menyanyikan lagu Ranggi Metropolis oleh kumpulan Wings, Faisal berjaya membuktikan bahawa cakap-cakap umum yang menyatakan dirinya hanya mampu membawakan lagu-lagu berunsur nasyid sahaja adalah tidak benar.

    Sambil menampilkan aksi rock sejati, persembahan anak muda yang lahir pada 24 Februari 1987 ini turut dikagumi tiga pengkritik yang terdiri daripada Ning Baizura, Aidit Alfian serta Adlin Aman Ramli.

    Ning secara jelas memperkatakan persembahan Faisal cukup bertenaga selain pujian bahawa dia mampu tampil dengan imej seorang penyanyi rock.

    Lihat sahaja bagaimana Faisal bertindak ‘terjun’ dari pentas untuk menunjukkan betapa dia sememangnya berani menonjolkan perubahan.

    Selain Stacy dan Faisal, persembahan penuntut-penuntut AF lain boleh dikatakan biasa sahaja dan tidak terlalu menyerlah.

    Penyingkiran Ika

    Sementara itu, amat malang bagi Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim, 19, apabila badi penyingkiran terkena pada dirinya.

    Perjuangan Ika terhenti di minggu kedua dan menjejaki langkah Yana yang terpaksa pulang awal ekoran memperoleh undian terendah.

    Pada konsert minggu kedua, Ika membawakan lagu Malu Tapi Mahu oleh Dina Malaysian Idol. Bak kata Adlin, persembahan Ika ketika menyanyikan lagu itu bagaikan banyak masalah selain `hancur’.

    Ning dan Aidit juga menjelaskan bahawa nyanyian Ika amat lemah dan lagu itu sebenarnya tidak bersesuaian dengan suaranya.

    Seakan memahami kritikan itu, penonton baik di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mahu pun di rumah bagaikan tidak mahu menyebelahi Ika justeru menghukumnya untuk disingkirkan.

    Ulasan Pengetua AF6

    Mengulas mengenai penyingkiran Ika, Pengetua AF6, Ramli MS secara ringkas memberitahu bahawa penonton kini semakin bijak untuk membuat penilaian.

    Leave a Reply

    *
    To prove you're a person (not a spam script), type the security word shown in the picture.
    Anti-Spam Image