AF6 - Mengkritik atau menghina?
KENYATAAN yang harus dihadapi oleh Astro ketika ini ialah, penerbitan musim keenam program Akademi Fantasia (AF) nyata mendapat maklum balas yang pelbagai.
Ada yang menyukainya, tidak kurang sebilangan besar yang mengeluh mengenai bakat-bakat AF6 yang seakan-akan tidak berbakat.
Bukan itu saja, bahkan, kehadiran pengkritik undangan khususnya yang lantang mencari kesilapan pelajar-pelajar yang masih mentah dalam dunia hiburan turut mencetus pelbagai tanda tanya di kalangan pemerhati seni.
Bagi pengkritik tetap pula, Fauziah Ahmad Daud (walaupun baru sekali muncul di AF6 kerana minggu lalu terikat dengan komitmen lain), dia dilihat memiliki karisma serta disenangi ramai kerana personalitinya.
Barangkali, latar belakang serta pengalaman personaliti senior industri hiburan tanah air itu banyak memberi kelebihan padanya.
Fauziah atau Ogy bijak mengadunkan elemen humor dan serius ketika melakukan kritikan.
Pemilihan tatabahasa Ogy juga membuatkan ramai yang sentiasa menanti ‘kritikan kejutan’ daripadanya.
Ogy pada hakikatnya telah mempopularkan banyak ‘istilah pentas hiburan’ yang baru seperti ‘menggali,’ ‘roh’ dan sebagainya.
Dan pastinya, kehadirannya di kerusi pengkritik jemputan malam esok dinantikan ramai.
Berbeza dengan Ogy, Ning Baizura pula barangkali mempunyai pandangan sendiri apabila mengulas persembahan para pelajar AF6.
Ning kerap kali dilihat mengambil jalan selamat dengan memberikan pandangan yang berteraskan pendekatan play safe.
Kehadiran Adlin Aman Ramlie sebagai pengganti Ogy pada konsert kedua minggu lalu juga sangat tepat kerana Adlin merupakan karyawan angkatan generasi muda yang tahu kehendak AF6.
Berdasarkan dua konsert mingguan AF6, fokus para pemerhati seni pada program realiti popular terbitan Astro itu kini tertumpu kepada tuan Pengetuanya, Ramli M.S.
Sebagai orang penting di sebalik ‘kelahiran’ bintang-bintang baru dalam industri hiburan, Ramli berterima kasih kepada para pengkritik yang memberikan ulasan pada pelajar-pelajar bimbingannya.
Bagaimanapun, apa yang menjadi kegusaran dan kegelisahan Ramli ialah kecenderungan segelintir pengkritik yang tersasar daripada tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.
Kata seniman itu, beliau sangat risau bila pengkritik memberikan kritikan melebihi had yang sepatutnya.
“Sudah tentu ada pengkritik yang tidak faham tugas mereka. Saya sentiasa bimbang kalau mereka (pengkritik) menghina dan mengherdik pelajar,” katanya dalam nada kecewa pada Hits ketika ditemu bual kelmarin.
Enggan menamakan pengkritik yang disifatkannya sebagai tidak profesional, Ramli menegaskan, bukan niatnya untuk menjadi seorang yang defensif, sebaliknya, beliau mengharapkan pertimbangan para pengkritik pada masa depan agar memberikan ulasan yang membina.
Sebagai pengetua, Ramli tidak mampu membendung rasa simpatinya pada pelajar-pelajar AF6 yang mengeluh kerana gentar untuk beraksi di pentas, menggigil untuk berhadapan dengan pengkritik dan hilang keyakinan diri.
Berpendapat, Adlin yang diundang pada konsert mingguan kedua sebagai seorang yang profesional, Ramli mempunyai sebab kenapa menyenangi kehadiran artis muda itu.
“Dia (Adlin) tahu apa yang dikritiknya. Apa yang dikritik oleh Adlin sama dengan catatan saya mengenai persembahan pelajar-pelajar AF6,” ujar Ramli yang mencatat kelemahan dan kelebihan pelajar-pelajar AF6 ketika beraksi pada konsert mingguan dalam buku nota kecilnya.
Berdasarkan setiap catatan yang dibuatnya, pada setiap hari Isnin, Ramli akan menemui pelajar-pelajar yang masih ‘selamat’ dalam akademi popular itu untuk berkongsi pandangan.
Kelibat Ramli yang setiap hari kelihatan di akademi berkenaan semata-mata untuk memastikan harapan para peminat AF6 tidak dikecewakan.
“Saya mahu menjadikan pelajar-pelajar AF6 sebagai bintang yang mempunyai masa depan cerah.
“Saya sangat menyedari harapan penonton, pengurusan Astro dan pihak media terhadap AF6 sangat tinggi.
“Beri kami sedikit masa dan kami akan buktikannya,” ikrar Ramli.
Lagu Rock Tema Minggu Ketiga
Berikut tugasan pelajar untuk minggu ini:
Pelajar Wanita
* Saida: Sepi Sekuntum Mawar Merah (Ella)
* Nadia: Total Eclipse of The Heart (Bonnie Tyler)
* Stacy: Pelesit Kota (Search)
* Lufya: Tika Dan Saat Ini (Medicine)
* Rina: Enter Sandman (Metallica)
Pelajar Lelaki
* Faisal: Sentuhan Kecundang (Ekamatra)
* Toi: C.I.N.T.A. (XPDC)
* Riz: Keunggulan Cinta (BPR)
* Stanly: Patahnya Sayap Malam (Massa)
* Naim: Opera Hidup (Wings)
* Alif: Kamelia (Sweet Charity)
* Nubhan: Summer of 69 (Bryan Adams)
MINGGU lalu, buat pertama kali ruangan Diskusi AF6 menemui pembaca budiman dan respons yang kami terima sangat hebat.
Dan minggu ini, kami terus mempelawa anda yang berminat untuk turut serta dalam perdebatan mengenai program realiti paling popular tanah air yang sudah memasuki musim keenam.
Tajuk perbincangan kami untuk minggu depan ialah Berjayakah AF6 Di Tangan AC Mizal?
Anda yang berminat diundang untuk melibatkan diri dalam diskusi ini dengan mengirim e-mel kepada saharudin.musthafa@utusan.com.my.
Kami juga akan memilih mana-mana pandangan bernas untuk disiarkan di ruangan ini selain berpeluang memenangi cenderamata eksklusif AF. Jadi, tunggu apa lagi. Ayuh sertai diskusi mingguan bersama Hits.
KEPADA para peminat setia AF6 juga jangan lupa menonton rancangan Diari EXT yang menemui penonton setiap hari Jumaat pukul 6.30 petang dan 9.30 malam di saluran Ria (saluran 104, Astro).
Pada siaran 9.30 malam ini, Diari EXT yang dikendalikan oleh Zainal Alam Kadir memberi peluang kepada penonton untuk membuat pilihan jawapan bagi isu Komen Pengkritik Jejas Undi menerusi SMS. Untuk menyertai undian SMS Diari EXT, sila taip AFPOLL A untuk Setuju dan B untuk Tidak Setuju kemudian hantarkan ke 32888.

