Adakah AF7 masih Releven?
KUALA LUMPUR, 25 MEI 2008: “Kita jumpa lagi tahun depan,” kata Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, bagaikan menjawab teka-teki berhubung adakah lagi Akademi Fantasia 7 (AF7) atau sebaliknya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selepas berakhirnya konsert akhir AF6 di Stadium Putra, Bukit Jalil tengah malam tadi. Dengan kata-kata itu, ia memberi bayangan bahawa AF7 akan terus diadakan tahun depan.
Zainir berkata, meskipun jumlah undian AF6 kali ini merosot, program realiti TV itu bagaimanapun masih berjaya mencipta popularitinya tersendiri, sekali gus menjadikan sebuah rancangan hiburan yang paling digemari di Malaysia dan Brunei Darussalam.
“Kami sudah menjangkakan perkara ini. Jumlah undian AF semakin kurang sejak musim kedua lagi. Tetapi selepas itu AF tetap diteruskan kerana ia masih relevan dengan penonton kita,” katanya.
AF6 meraih jumlah keseluruhan undi sebanyak 3.8 juta berbanding musim pertama 4.5 juta.
Bagi jumlah undian pada konsert final AF6 malam tadi, sebanyak 879,000 undian berjaya dicatatkan yang memberi kelebihan kepada Stacy meraih sebanyak 43 peratus berbanding 4 finalis lain.
Zainir berkata, 3 faktor yang memperlihatkan sebagai AF6 berjaya adalah rating konsert mingguan yang konsisten, strategi Astro dalam memberi hiburan berkualiti kepada pelanggan dan kejayaan memikat pelanggan baru.
“Dari sudut lain, kami melihat AF sebagai platform untuk bintang baru maju ke depan,” katanya.
Ditanya di manakah terletaknya kelemahan AF6 yang mungkin boleh diperbaiki, Zainir tidak melihat sebarang kelemahan besar pada penganjuran AF musim ini.
Dia berkata, pihaknya akan pastikan penganjuran AF pada musim datang akan lebih mantap.
Mengulas mengenai kemenangan Stacy sebagai juara AF6, Zainir berkata sejarah baru berjaya dicipta kerana dia adalah pemenang pertama dari Malaysia Timur.
“Kejayaan Stacy adalah pilihan peminat tetapi dia sendiri menunjukkan kemantapan menerusi kedua-dua lagu yang dipersembahkan,” kata Zainir.

